KOTA TINGGI : Kulim (Malaysia) Berhad Trail Run 2019 telah berlangsung dengan jayanya pada 20 Julai 2019 bertempat di Kulim Eco Trail Retreat. Program anjuran Johor Corporation (JCorp) melalui Kulim (Malaysia) Berhad serta Pejabat Daerah Kota Tinggi yang telah memasuki tahun ke empat penganjurannya ini telah menyaksikan kehadiran 600 orang peserta dan peminat sukan larian dari dalam dan luar negara.
Menurut Dato' Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi Kulim (Malaysia) Berhad, Kulim Kota Tinggi Trail Run 2019 ini merupakan salah satu inisiatif JCorp dalam usaha mengalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat di samping menyahut kerajaan ke arah menjadikan sukan sebagai agen mempromosikan negara.
“Selain itu, sukan merupakan salah satu medium penyatupaduan yang baik bagi segenap lapisan masyarakat tidak kira usia, bangsa dan budaya. Justeru, JCorp akan terus komited dalam meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya dalam konteks perpaduan sukan khususnya di Malaysia.”
“Melalui penganjuran acara seperti ini, ia juga secara tidak langsung dapat meningkatkan pembangunan ekonomi setempat melalui peluang perniagaan berteraskan sukan rekreasi yang juga berkait rapat dengan pelancongan”, akhiri Dato Kamaruzzaman dalam perbualannya.
Tuan Haji Zulkifly Zakariah, selaku Pengarah Eksekutif Kulim (Malaysia) Berhad pula berkata, apa yang menarik mengenai penganjuran Kulim Kota Tinggi Trail Run 2019 adalah peserta bukan sahaja di bawa menikmati kelestarian dan kehijauan ladang sawit milik Kulim (Malaysia) Berhad tetapi juga menikmati keindahan Sungai Johor dan kampung nelayan di kawasan sekitar.
“Kulim (Malaysia) Berhad sentiasa mencari kelainan dalam menjalankan tanggungjawab korporatnya. Kelainan yang diutamakan pada acara kali ini adalah dengan menganjurkan acara larian berkonsepkan laras lasak atau larian jejak yang berbeza dengan acara larian oleh penganjur-penganjur lain yang berkonsepkan maraton atau larian di jalan raya.”
“Alhamdulillah, setelah 4 tahun penganjuran acara ini, Kulim Kota Tinggi Trail Run 2019 semakin dikenali dan kami juga berbangga kerana menjadi antara pelopor kepada penganjuran acara lari dengan konsep sebegini terutamanya di Negeri Johor”.
“Kejayaan yang dikecapi sudah pastinya tidak hanya berlandaskan atas usaha JCorp dan Kulim sahaja, namun sudah pastinya melalui kerjasama erat dan utuh yang diberikan oleh pelbagai agensi Kerajaan Negeri Johor khususnya Pejabat Daerah Kota Tinggi, Jabatan Pelancongan Negeri serta agensi daerah setempat”.
Menurut Encik Idham Jihadi Abu Bakar, selaku Ketua Divisyen Khidmat Korporat Kulim (Malaysia) Berhad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, hadiah keseluruhan yang ditawarkan pada siri kali ini bernilai hampir RM 25,000 termasuk beberapa hadiah utama cabutan bertuah berupa telefon pintar, iPhone X, iPad Air dan sebuah televisyen LED 40 inci.
“Acara pada kali ini juga telah berjaya menarik minat dan penyertaan negara luar seperti Jepun, Kenya, Indonesia, Filipina, Singapura, Perancis dan Vietnam untuk bersaing dan menerima hadiah menarik yang ditawarkan. “
“Seperti penganjuran edisi-edisi sebelumnya, kami masih lagi mengekalkan laluan menuju ke Bukit Pisang yang terletak di dalam Ladang REM yang juga merupakan ladang milik Kulim yang terletak bersebelahan Ladang Basir Ismail. Bukit Pisang merupakan kawasan tertinggi dan merupakan laluan paling mencabar yang perlu dilalui oleh para pelari”
“Sebagaimana tahun sebelumnya, acara kali ini menyaksikan para peserta berentap dalam 2 kategori iaitu 15km Terbuka (Lelaki/Wanita) dan 7km Terbuka (Lelaki/Wanita). Kategori 7km juga melibatkan penyertaan hampir 150 anggota pekerja kumpulan JCorp”, akhiri En Idham dalam perbualannya.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Y.Bhg Tuan Haji Farizal Ismail, Pegawai Daerah Kota Tinggi. Acara ini turut turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Daerah Kota Tinggi dan Southern Ultra selain beberapa agensi setempat yang berkaitan.