JOHOR BAHRU, 30 Januari 2019: Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikat Kumpulannya, Virtualflex Sdn Bhd (Virtualflex) melaksanakan kemudahan pembayaran gaji bulanan tanpa tunai menerusi KA$H Card yang akan memanfaatkan lebih 500 pekerja asing di ladang milik Kulim Plantation Sdn Bhd iaitu Ladang Sedenak dan Ladang Mutiara bagi mewujudkan Harta Pusaka Tanpa Tunai iaitu sebuah konsep ekonomi pintar.
Sebagai permulaan, setiap pekerja ladang Kulim itu akan dibekalkan dengan KA$H Card dan pembayaran gaji bulanan akan dikreditkan terus ke dalam kad tersebut bermula Februari 2019.
Menurut Puan Norsiah Juriani Johari, Ketua Pegawai Eksekutif Virtualflex, Pelaksanaan Harta Pusaka Tanpa Tunai ini bukan sahaja memudahkan pekerja ladang kerana tidak perlu menunggu lama untuk menerima gaji bulanan yang dibayar secara tunai, tetapi turut mengikuti perkembangan teknologi terkini yang kelihatan menjadi trend atau gaya semasa yang lebih mudah pada hari ini.
“Penggunaan KA$H Card adalah mudah, cepat dan mesra pengguna. Saya yakin ia boleh menarik lebih ramai pengguna untuk menggunakan kad ini kerana ia boleh digunakan untuk melakukan transaksi atas talian atau menambah nilai bayaran yang cepat dan selamat. Nilai prabayar KA$H® (E-dompet & Kad) ini juga mampu menampung sehingga RM20,000 kapasiti,” tambah beliau.
Virtualflex juga akan menempatkan peniaga (merchant) di setiap ladang bagi memudahkan urusan pengguna KA$H Kad. Menarik lagi, pekerja asing di ladang juga boleh melakukan pindahan wang ke luar negara menerusi aplikasi KA$H.
Bagi mewujudkan Harta Pusaka Tanpa Tunai, JCorp akan membekalkan dua terminal Ka$h Card yang akan dipasang di ladang Kulim tersebut. Pada masa yang sama, Virtualflex turut memberi bimbingan kepada pekerja ladang mengenai kaedah mengendalikan sistem E-Dompet sebagai satu kaedah pembayaran yang efisyen selain mengadakan taklimat mengenai kelebihan menggunakan kad tersebut.
Selain itu, setiap pekerja ladang turut boleh menggunakan kemudahan MasterCard global® tanpa perlu ke bank kerana ianya dilengkapi dengan sistem 'daftar masuk' yang mudah. Setiap permohonan untuk memiliki kad ini juga tidak memerlukan slip gaji kerana mereka hanya perlu menunjukkan salinan pasport.
Kad ini juga boleh digunakan untuk pengeluaran serta pemindahan wang di samping mendapat diskaun atau pulangan tunai 15 peratus sebagai satu bentuk penjimatan, bagi pembelian barangan dan perkhidmatan kepada rakan niaga terpilih seperti KFC, Ayamas, Zalora dan Lazada tertakluk kepada syarat dan syarat ditetapkan syarikat yang mengambil bahagian.