Kerjasama Sinergi Kulim Dengan MPOB & Nuklear Malaysia Pacu R&D Sektor Kelapa Sawit dan Nanas MD2

12 Disember 2019

KOTA TINGGI, 12 Disember 2019: Johor Corporation (JCorp) menerusi Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) hari ini memperkukuhkan kerjasama industri menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) bagi memperkukuhkan aktiviti penyelidikan & pembangunan (R&D) dalam sektor kelapa sawit dan nanas MD2 di negara ini.

Menurut Tuan Haji Zulkifly Zakariah, Pengarah Eksekutif Kulim, memastikan Kulim terus berdaya saing dalam pasaran ekonomi yang semakin mencabar khususnya sektor perladangan, pihaknya mengambil peluang untuk memanfaatkan teknologi yang sedia ada daripada kalangan agensi kerajaan seperti MPOB dan Nuklear Malaysia.

Melalui MoA dengan MPOB menerusi Perkhidmatan Perundingan & Latihan mengenai pencetakan jari DNA & teknologi berkaitan molekul, sebanyak tiga aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh Kulim iaitu pengecapjarian DNA (cap jari DNA), Suresawit Virescens dan Suresawit Shell Kit. Aplikasi ini membolehkan Kulim mengenalpasti dan menentu sahkan baka induk kelapa sawit yang dapat memberi hasil yang lebih baik dengan lebih cepat dan tepat. Ianya juga memberi penjimatan sehingga 5 tahun masa kajian, berbanding 20 tahun menggunakan teknologi yang sedia ada.

Selain itu, melalui MoU dengan Nuklear Malaysia pula menerusi kerjasama penyelidikan dalam penghasilan varieti baharu nanas bagi menghasilkan jenis-jenis nanas baharu yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap penyakit.

Sesi pertukaran MoA dan MoU tersebut telah ditandatangani oleh Cik Zainuriah Abdullah, Ketua Divisyen Khidmat Nasihat Perladangan & Perkhidmatan, Kulim dengan Dr Haji Mohamad Arif Abd Manaf, Pengarah, Pusat Kemajuan Bioteknologi & Biakbaka, MPOB serta Dr Abdul Rahim Harun, Pengarah, Bahagian Agroteknologi & Bisnes, Nuklear Malaysia sambil disaksikan oleh Tuan Haji Zulkifly bersama Dr Zainal Idris, Timbalan Ketua Pengarah, R&D MPOB dan Dr Abdul Muin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah, Program Teknikal Nuklear Malaysia.

 

Berita Popular

Kulim (Malaysia) Berhad
Level 11, Menara Komtar, Johor Bahru City Centre, 80000 Johor Bahru, Johor Darul Takzim, Malaysia
Selama 80 tahun, kami merevolusikan masa depan perniagaan tani, dengan itu, mengukuhkan kedudukan kami sebagai salah satu pemain utama dalam sektor pertanian Malaysia.
Hak Cipta © 2023 Kulim Malaysia Berhad
chevron-down
ms_MYBahasa Melayu