Ganjaran RM25,000 Menanti 200 Peserta Kulim Kota Tinggi Boat Fishing Challenge 2019

April 13, 2019

KOTA TINGGI, 13 April 2019: Johor Corporation melalui Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) sekali lagi meneruskan penganjuran acara Kulim Kota Tinggi Boat Fishing Challenge 2019. Acara yang memasuki tahun ke-7 penganjurannya ini telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Jeti Nam Heng, Ladang Basir Ismail, Kota Tinggi, Johor.

Dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Tinggi, acara ini telah berjaya menarik seramai 200 peserta bersaing untuk merebut gelaran Raja Sungai yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000 selain sebuah motosikal sebagai hadiah utama cabutan bertuah. Pertandingan tersebut turut dirasmikan oleh Tuan Haji Farizal bin Ismail, Pegawai Daerah Kota Tinggi.

Menurut YB Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi Kulim berkata acara yang dianjurkan oleh Johor Corporation melalui Kulim ini antara lain bertujuan menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor peringkat Daerah Kota Tinggi.

“Acara ini juga dianjurkan bertujuan untuk memperkenalkan Sungai Johor sebagai sebuah destinasi sukan memancing yang juga berpotensi menjadi destinasi pelancongan utama di Negeri Johor. Ianya juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial syarikat dalam usaha meningkatkan lagi ekonomi setempat khususnya dalam konteks pelancongan desa dan aktiviti sukan memancing di kawasan ini.”

“Sejak pertandingan ini diperkenalkan pada tahun 2013, jumlah bot yang diusahakan di kawasan ini oleh penduduk setempat telah bertambah sebanyak tiga kali ganda. Sebuah pusat peranginan berkonsepkan eko-pelancongan juga telah dibangunkan di sini oleh Kulim.

“Kawasan ini juga telah mencatatkan peningkatan jumlah kehadiran pelancong saban tahun khususnya dari Singapura. Ini bertepatan dengan inisiatif pihak penganjur dalam usaha mempromosi serta meningkatkan nilai komersial kawasan ini seterusnya meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat,” tambah beliau.

Sementara itu, Tuan Haji Zulkifly Zakariah, Pengarah Eksekutif Kulim berkata, Kulim Kota Tinggi Boat Fishing Challenge 2019 yang dianjurkan dengan kerjasama badan kerajaan dan juga pihak swasta ini juga merupakan  inisiatif Kulim dalam menyahut seruan kerajaan mengeratkan hubungan antara sektor kerajaan dan swasta melalui kerjasama strategik dan perkongsian pintar.

“Jalinan erat yang dipancarkan ini dilihat mampu memantapkan keupayaan dan kapisiti organisasi serta meningkatkan jalinan kerjasama stategik antara pihak kerajaan dan swasta.

“Dengan menjadikan agenda perpaduan dan keharmonian masyarakat sebagai teras utama, Kulim akan terus komited dalam menganjurkan lebih banyak acara seperti ini yang terbukti dapat memupuk dan memperkukuhkan semangat nasionalisme, integrasi sosial dan sikap menghormati antara satu sama lain,” jelasnya.

Sementara itu, Encik Idham Jihadi, Pengurus Besar Divisyen Khidmat Korporat Kulim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur berkata selain pertandingan memancing bot, terdapat 2 lagi acara sampingan dianjurkan iaitu Kulim Badang Man 2019 dan sukan rakyat untuk masyarakat setempat.

“Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada semua rakan strategik yang menjayakan acara iaitu Majlis Daerah Kota Tinggi, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, JKR Kota Tinggi, Bomba Kota Tinggi, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Johor, Edaran Badang Sdn Bhd, Melita, Kelab Sukan & Rekreasi Kulim, JKKK Kampung setempat serta Joran Bagus,” akhir beliau.

Popular News

Kulim (Malaysia) Berhad 
Level 11 Menara Komtar
Johor Bahru City Centre
80000 Johor Bahru
Johor Darul Takzim, Malaysia
For 90 years, we revolutionised the future of agribusiness, thus, strengthening our position as one of the key players in Malaysia's agricultural sector.
Copyright © 2024 Kulim (Malaysia) Berhad
Kulim (Malaysia) Berhad 
Level 11 Menara Komtar
Johor Bahru City Centre
80000 Johor Bahru
Johor Darul Takzim, Malaysia
For 90 years, we revolutionised the future of agribusiness, thus, strengthening our position as one of the key players in Malaysia's agricultural sector.
Copyright © 2024 Kulim (Malaysia) Berhad
chevron-down
en_GBEnglish (UK)