KOTA TINGGI, 3 Februari 2019: Johor Corporation (JCorp) menerusi Kulim (Malaysia) Berhad melancarkan pembukaan kompleks penyelidikan dan pembangunan (R&D) Kulim Agrotech Centre melibatkan kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM20 juta di sini, hari ini.
Kulim Agrotech Centre yang dibina di atas kawasan seluas 2.87 hektar dan telah beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2018 adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Johor untuk membudayakan sains dan teknologi serta mencipta nilai baharu dalam R&D.
Menurut YB Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif JCorp, kompleks tersebut akan menempat lima bahagian operasi iaitu biakbaka tanaman, kultur tisu, makmal kimia, genomik & mikrobiologi serta pentadbiran agronomi & khidmat nasihat.
“Dengan adanya kompleks ini secara tidak langsung akan membantu Kulim mengembangkan bidang penyelidikannya. Impak R&D ini akan menghasilkan buah tandan kelapa sawit yang segar dan kandungan minyak yang tinggi sekali,” tambah beliau yang juga Pengerusi Kulim.
Sementara itu, Tuan Haji Zulkifly Zakariah, Pengarah Eksekutif Kulim berkata, pembinaan kompleks R&D itu menunjukkan komitmen Kulim dalam memastikan pembangunan industri sawit lebih berdaya saing dan mampan.
“Kami berharap, pembinaan kompleks ini menjadi titik tolak untuk Kulim terus meneroka pelbagai bidang kajian bagi penambahbaikan hasil keluaran kami seperti genetic molekul dan teknologi mikrob,” ujar beliau.
Reka bentuk Kulim Agrotech Centre diinspirasikan daripada pohon pokok kelapa sawit yang merupakan simbolik kepada bisnes utama Kulim iaitu perladangan sawit. Lebih menarik, kompleks tersebut turut menjalankan R&D bagi hasil pertanian lain iaitu kelapa.
Sementara itu, JCorp menerusi Virtualflex Sdn Bhd (Virtualflex) dengan kerjasama Kulim turut melancarkan konsep ekonomi pintar yang pertama di Malaysia - Cashless Estate dengan melaksanakan kemudahan pembayaran gaji bulanan tanpa tunai menerusi KA$H Card yang kini memanfaatkan lebih 500 pekerja asing di ladang milik Kulim dan dijangka meliputi kesemua estet menjelang suku kedua tahun ini.
Menurut YB Dato’ Kamaruzzaman, Pelaksanaan Cashless Estate ini bukan sahaja memudahkan pekerja ladang kerana tidak perlu menunggu lama untuk menerima gaji bulanan yang dibayar secara tunai, tetapi seiring dengan perkembangan teknologi terkini yang dilihat menjadi trend atau gaya semasa yang lebih mudah pada hari ini.
“Penggunaan KA$H Card dapat mengurangkan kos operasi kepada pengusaha estet yang masih lagi membayar gaji secara tunai kepada pekerja mereka. Ia juga memberi pelbagai kemudahan kepada para pekerja, dan cara selamat menyimpan duit gaji mereka, di samping berupaya untuk melakukan pelbagai transaksi seperti kiriman wang, transaksi atas talian atau menambah nila prabayar tanpa perlu pergi ke bandar,” tambah beliau.
Beliau juga mengumumkan bahawa kemudahan solusi KA$H Card ini sedia untuk dilaksanakan di mana-mana estet yang kini mengalami cabaran pembayaran gaji kepada pekerja asing dan yang menghadapi isu pengurusan gaji secara tunai yang melibatkan kos keselamatan yang tinggi.
Bagi mewujudkan Cashless Estate, Virtualflex membekalkan terminal Ka$h Card yang dipasang di ladang Kulim tersebut. Pada masa yang sama, Virtualflex turut memberi bimbingan kepada pekerja ladang mengenai kaedah mengendalikan sistem E-Wallet sebagai satu kaedah pembayaran yang efisyen selain mengadakan taklimat mengenai kelebihan menggunakan kad tersebut.
Selain itu, setiap pekerja ladang turut dapat menggunakan fasiliti global MasterCard® tanpa perlu ke bank kerana ianya dilengkapi dengan sistem ‘sign-on’ yang mudah. Setiap permohonan untuk memiliki kad ini juga tidak memerlukan slip gaji kerana mereka hanya perlu menunjukkan salinan passport.
Kad ini juga boleh digunakan untuk pengeluaran serta pemindahan wang di samping mendapat diskaun atau cashback sehingga 15 peratus sebagai satu bentuk penjimatan, bagi pembelian barangan dan perkhidmatan dengan rakan niaga terpilih seperti KFC, Ayamas, Zalora dan Lazada tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan syarikat yang mengambil bahagian.